Umno desak kerajaan benarkan pengeluaran i-Citra KWSP


  • Politik
  • Khamis, 30 Dis 2021

ORANG ramai mendesak supaya dibenar mengeluarkan RM10,000 secara 'one-off' menerusi i-Citra KWSP. — AZMAN GHANI/The Star

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar kerajaan mempunyai ‘political will’ atau kehendak politik dengan membenarkan lanjutan skim i-Citra kepada rakyat.

Beliau berkata, ini kerana rakyat yang baru sahaja terjejas akibat banjir, tanah runtuh mahupun yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlukan wang untuk perbaiki keadaan mereka.

STATUS Facebook Zahid Hamidi pada Khamis

Menurutnya, kabinet juga perlu teliti dengan lebih mendalam terhadap nasihat yang diberikan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk tidak membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kita harap masih ada ruang buat kerajaan membenarkan lanjutan skim i-Citra. Jangan ditutup sepenuhnya. Dengari rintihan rakyat. Rakyat yang menjadi mangsa banjir, ditimpa bencana tanah runtuh, masih dalam kesempitan kesan darurat dan PKP separuh masak yang lepas.

“Jika Menteri Kewangan memberi nasihat sebaliknya kepada kerajaan, kabinet telitilah dengan mendalam terlebih dahulu. Perlu ada ‘political will’ kerana rakyat yang baru terjejas atau sekian lama terkesan perlukan wang untuk perbaiki keadaan mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Ahmad Zahid berkata, sebelum ini Tengku Zafrul turut memberikan pelbagai alasan untuk tidak membenarkan pengeluaran KWSP, namun terbukti ia boleh dilakukan selepas desakan demi desakan dilakukan.

Tambah beliau, berdasarkan respon di media sosial, rakyat lebih memilih untuk menggunakan dana sendiri berbanding membuat pinjaman.

“Mereka tidak bersedia untuk berhutang apatah lagi dengan menambah hutang. Sebahagiannya susah dan tidak mampu membayar hutang yang sudah sedia ada. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram