KERAJAAN perlu mendengar tunturan rakyat agar pengeluaran 'one-off' dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diluluskan ekoran situasi kecemasan luar biasa akibat pandemik dan musibah banjir yang melanda, kata Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurutnya insiatif yang diberikan oleh kerajaan kepada mangsa banjir itu tidak mencukupi dan sebenarnya tidak mencakupi semua lapisan yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi.
"Inisiatif berhutang melalui skim pinjaman Tekun atau kemudahan Bank Simpanan Nasional (BSN) tidak akan menyelesaikan masalah semua pihak kerana ada yang tidak layak, bahkan menambah beban rakyat dengan lilitan hutang berpanjangan yang tiada berkesudahan.
"Kerajaan wajar pertimbangkan untuk meningkatkan jumlah bantuan wang ihsan daripada RM1,000 kepada sekurang-kurangnya RM5,000 kepada mangsa banjir. Nak baiki kereta yang ditenggelami banjir yang dianggarkan antara RM4,000 hingga RM10,000 pun tak cukup," kata Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.
Asyraf Wajdi juga menambah wang ihsan juga perlu diperluaskan kepada mereka yang terjejas akibat pandemik termasuk golongan M40 dan B40 yang hilang punca pendapatan akibat dibuang, dicutikan tanpa gaji, perniagaan lingkup akibat PKP berpanjangan.
"Usah takut berbelanja defisit untuk tambah bantuan kepada rakyat atas premis Pelan Konsolidasi Fiskal di saat kecemasan, musibah dan pandemik yang luar biasa," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mencadangkan agar negara melaksanakan bantuan tunai atau ‘cash transfer’ sebagaimana amalan banyak negara-negara maju ketika ini termasuk Jerman dan United Kingdom bagi menyelesaikan musibah dan menggerakkan semula ekonomi.
"Projek tebatan banjir yang efektif bagi menangani banjir adalah satu lagi contoh perbelanjaan yang punya kesan baik jangka panjang.
"Jika kerajaan sedia berbelanja untuk rakyat dan sediakan pelan dan pakej bantuan secara komprehensif berjangka pendek dan panjang kepada rakyat, sudah tentu isu pengeluaran KWSP tidak timbul lagi," ujar Asyraf Wajdi.
Beliau juga sempat membandingkan bantuan RM1,000 yang diberikan kerajaan dengan bantuan yang pentadbiran lama yang mana ketika banjir besar Kemaman 2014, kerajaan memberikan bantuan tunai sebanyak RM2,000 serta bantuan peralatan rumah bernilai RM5,000 meliputi perkakasan seperti peti sejuk, televisyen, dapur, bantal dan tilam.
"Sudah tentu dalam keadaan banjir yang lebih parah tahun ini, bantuan yang lebih besar perlu diberikan. Pilihan untuk berhutang harus jadi pilihan terakhir selepas masalah asas rakyat ditangani terlebih dahulu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram