Pekan Kajang tenggelam, Sungai Langat cecah paras bahaya


  • 112
  • Isnin, 27 Dis 2021

KEADAAN jalan raya selepas dinaiki air dalam kejadian hujan lebat di Kajang pada petang Isnin. — Ihsan bomba

TULAR beberapa rakaman video dan gambar-gambar menunjukkan limpahan air sudah naik di laluan Kajang menuju ke Semenyih, Selangor selepas kawasan itu dilanda hujan lebat pada petang Isnin.

RAKAMAN video menunjukkan keadaan air deras di sebuah kawasan di Kajang. — Facebook

Hujan lebat lebih sejam itu dilaporkan menyebabkan beberapa kawasan di Kajang termasuk Bandar Sungai Long dan Taman Lembah Mewah Kajang dilanda banjir kilat.

Kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira pukul 5.57 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis berkata, kejadian pertama melibatkan kawasan apartment Gien Court, Bandar Sungai Long manakala kejadian kedua di Jalan Semenyih.

"Di lokasi pertama, bomba dapati berlaku limpahan air dari kolam berhampiran dengan kedalaman kira-kira 0.3 meter.

"Sementara itu, di lokasi kedalaman air mencecah 0.6 meter. Bagaimanapun, banjir telah surut sepenuhnya sebaik sahaja pihak bomba tiba di sana,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

2b3fc715-3171-4bbd-b0ab-ac3eb0b740a4

KEADAAN rumah di Taman Lembah Mewah Kajang yang dinaiki air dalam kejadian hujan lebat pada petang Isnin. — Ihsan bomba

Menurut Norazam, tiada sebarang pusat pemindahan sementara dibuka di kawasan terlibat.

Begitupun, amaran tetap dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran kepada penduduk agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa susulan aras air di Sungai Langat di Taman West Country Kajang menunjukkan trend menaik dan berada pada paras bahaya setakat jam 6.30 petang Isnin.

Pada masa sama, aras air Sungai Langat di Kajang juga dilaporkan pada paras bahaya bagi tempoh sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram