SITUASI jalan raya yang tidak rata dan berlubang sering dilihat di sekitar ibu kota negara ini, sekali gus mengundang kemarahan orang ramai.
Meskipun berkali-kali menghantar aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi laman media sosial atau laman sesawang rasmi, tiada tindakan menyeluruh diambil.
Nyawa dan keselamatan para pengguna jalan raya seolah-olah seperti tidak diambil berat oleh PBT berwajib.
Jika situasi itu tidak cukup merungsingkan, kali ini seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Amin Ahmad berkongsi tentang tindakan kontraktor yang meletakkan binaan utiliti tidak mengikut spesifikasi sepatutnya.
"Jalan pintas ke akhirat. Terima laporan belakang Times Square, Jalan Baru dari Tun Razak Exchange (TRX)/LalaPort. Minta Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim tolong tengok.
"Ini kontraktor mana buat dan bayaran dah lulus belum?" ujarnya.
Perkongsiannya itu mendapat pelbagai respons para warganet.
"Punca utama, harga kepada sub kontraktor terlampau rendah, terpaksa guna jurutera tidak berlesen, hasilnya inilah dia," ujar seorang pengguna Facebook, Hamdi Hamzah.
"Inilah kerja kontraktor kerajaan, janji siap kerja dia sahaja. Tak fikir yang mendatang lebih kerosakan yang dibuat," kata seorang lagi pengguna Facebook, Musaidi Mustaffa.
Binaan utiliti yang terlalu tinggi itu bukan sahaja mengganggu kelancaran jalan raya malahan boleh membahayakan nyawa para pengguna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram