MEMBAIKI kenderaan yang rosak di lorong kecemasan di lebuhraya merupakan satu tindakan yang membahayakan bukan sahaja pada diri sendiri tetapi pengguna lain.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Datuk Suret Singh.
Beliau turut menasihatkan supaya pengguna lebuh raya menghubungi talian kecemasan 999 atau pengendali lebuh raya bagi mendapatkan bantuan jika kejadian seumpama itu berlaku
"Cubaan membaiki kenderaan ataupun menukar tayar pada lorong kecemasan di lebuh raya adalah amat berbahaya.
"Semua pengendali lebuh raya mempunyai pasukan peronda dan penyelamat, jadi hubungilah mereka untuk mendapatkan bantuan serta mengelakkan kehilangan nyawa. Jika tiada dalam simpanan telefon, nombor pengendali lebuh raya boleh diperoleh melalui carian Google," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, biasanya pasukan peronda lebuh raya akan tiba secepat mungkin dan menunda kenderaan yang rosak ke kawasan rehat berhampiran.
Katanya lagi, selain itu semua penumpang juga perlu keluar dari kenderaan dan berkumpul di luar penghadang jalan.
"Pengguna lebuh raya dinasihatkan agar mengambil iktibar daripada peristiwa kehilangan 10 nyawa di Lebuhraya Elite, pada 18 Disember 2021," ujarnya.
Kongsi Suret lagi, kenderaan yang rosak juga perlu dipasangkan lampu kecemasan dan pemandu disarankan meletakkan 'segi tiga pantul cahaya' atau kon keselamatan kira-kira 30 meter di belakang kenderaan selain menggunakan lampu suluh bagi tujuan tersebut.
"Ini bagi membolehkan pemandu lain dapat melihat kenderaan rosak yang diletakkan di lorong kecemasan
"Pengguna lebuh raya juga dicadangkan supaya menyimpan baju pantul cahaya untuk digunakan bagi tujuan kecemasan pada waktu malam jika berlaku kerosakan," jelasnya.
Terdahulu, dalam kejadian di Lebuhraya Elite, 10 individu maut dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah treler di kawasan Rehat & Rawat USJ Lebuhraya Elite menghala Shah Alam, Selangor.
Mangsa yang meninggal dunia membabitkan sembilan sekeluarga iaitu ibu serta lapan anaknya dan seorang lelaki yang juga mekanik.
Treler itu dipercayai merempuh tiga kereta yang berhenti di lorong kecemasan kerana satu daripada kenderaan itu mengalami kerosakan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram