Kes Covid-19 kekal bawah paras 4,000


  • Primer
  • Jumaat, 24 Dis 2021

KES harian Covid-19 terus menunjukkan angka di bawah paras 4,000 pada Jumaat. — Gambar hiasan.

KES harian baharu Covid-19 negara terus menunjukkan penurunan ke paras bawah 4,000 apabila merekodkan 3,528 kes baharu pada Jumaat berbanding 3,510 kes yang dicatatkan pada Khamis.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan di media sosialnya, ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini kepada 2,735,241 kes setakat ini.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 4,489 kes sembuh baharu direkodkan pada Jumaat, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kepada 2,657,074.

Selain itu, sebanyak 339 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) dengan 180 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak empat kluster baharu dicatatkan pada Jumaat dan jumlah kluster mencecah 6,098. Daripada jumlah berkenaan, hanya 229 kluster masih aktif.

Tambah kenyataan tersebut, daripada 3,528 kes yang dilaporkan pada Jumaat, sebanyak 66 kes (1.9 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5 manakala 3,462 kes (98.2 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram