Tiga termasuk budak dihanyut banjir lumpur di chalet Bentong, 32 selamat


  • 112
  • Ahad, 19 Dis 2021

ANGGOTA bomba membawa mangsa yang terbabit akibat banjir lumpur di sebuah chalet di Bentong, Pahang ke kawasan selamat pada Ahad. — Bernama

TIGA termasuk seorang kanak-kanak lelaki hilang dipercayai dibawa arus dalam kejadian banjir lumpur di sebuah chalet di Bentong, Pahang pada Ahad.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani, semua mereka merupakan sebahagian daripada 35 individu yang berada di chalet berkenaan dan terperangkap akibat banjir lumpur pada 11.40 malam.

"Kesemua mereka (yang hilang) merupakan warganegara tempatan dengan dua lagi, masing-masing seorang dewasa lelaki dan wanita, namun setakat ini, identiti mereka masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Ismail, mangsa yang selamat termasuk lapan kanak-kanak ditemukan dalam keadaan kesejukan setelah berada di luar chalet kerana tidak berani berada dalam chalet yang dibimbangi tidak selamat.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sebaik sahaja dimaklumkan kejadian dan pasukan penyelamat telah berjaya menjumpai mangsa yang terselamat pada 4.09 pagi sebelum operasi membawa keluar tamat pada 8.30 pagi.

Bagaimanapun katanya selepas kiraan mangsa dibuat, tiga mangsa tidak ditemui.

Operasi itu dikendalikan Balai Polis dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands yang dibantu BBP Gombak dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Pahang.

Operasi mencari mangsa hilang pada Ahad yang melibatkan 22 pegawai dan anggota bomba serta tiga anjing pengesan, ditangguhkan pada 6.30 petang tadi ekoran cuaca gelap dan akan bersambung Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Pahang, lemas, hilang, banjir lumpur, selamat