Proton tawar pelbagai bantuan kepada pelanggan terjejas akibat banjir


  • Bizz
  • Rabu, 22 Dis 2021

KEADAAN kereta yang mengalami kerosakan akibat ditenggelami banjir luar biasa dalam kejadian di Taman Sri Muda, Shah Alam pada Sabtu. — Gambar hiasan/Twitter

PROTON akan membantu semua pemilik model Proton yang mengalami kerosakan kereta akibat banjir baru-baru ini dengan menawarkan diskaun 20 peratus bagi alat ganti tertentu serta diskaun 20 peratus untuk caj buruh kepada pelanggan yang telah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

Selain itu, syarikat pengeluar kereta itu juga akan menanggung caj tunda sebanyak sehingga RM200 dan caj pembersihan bahagian luar serta ruang enjin sebanyak RM100.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, fenomena banjir baru-baru ini telah menjejaskan ribuan penduduk terutama di Selangor dan Shah Alam.

"Ramai pelanggan kami mengalami kerosakan tempat tinggal serta perniagaan termasuk kereta mereka. Oleh itu, kami ingin menghulurkan bantuan untuk memastikan kenderaan mereka boleh diperbaiki dan memberi jaminan bahawa pelanggan kami adalah keutamaan syarikat.

"Keadaan yang luar biasa memerlukan tindak balas yang luar biasa juga. Proton akan berusaha untuk memastikan kenderaan pelanggan diperbaiki secepat mungkin dan menasihati mereka untuk terus ke pusat perkhidmatan kami supaya dapat menikmati faedah ini," katanya.

Untuk keterangan lanjut boleh hubungi talian pelanggan Proton di 1-800-88-8398. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram