BEKAS Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian meninggal dunia di rumah anaknya di Damansara, Kuala Lumpur, pada pukul 11.45 malam Selasa.
Perkara itu disahkan oleh abangnya, Datuk Aziz Sapian.
"Saya diberitahu mengenai pemergiannya oleh salah seorang adik saya lebih kurang (pukul) 11 lebih tadi.
Buat masa ini, ahli keluarga di Kuala Lumpur sedang menguruskan urusan jenazahnya," kata beliau kepada ketika dihubungi tengah malam Selasa.
Pada 13 Oktober lepas, Osman, 69, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas dan Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam dilaporkan dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Johor selepas diserang strok ringan dan pada November lalu beliau dilaporkan dirawat di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Selangor.
Osman dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 selepas Pilihan Raya Umum pada 2018.
Beliau adalah menteri besar bagi tempoh 12 Mei 2018 sehingga 8 April 2019.
Difahamkan, jenazah akan dibawa balik ke rumah Allahyarham di Larkin, Johor Bahru dan dikebumikan di sana pada Rabu. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
