Beri pengecualian bil air, elektrik kepada mangsa banjir


  • Primer
  • Isnin, 20 Dis 2021

MANGSA banjir di Lembah Klang memohon supaya dikecualikan bil Air Selangor dan TNB. —The Star

PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) diminta memberi pengecualian bil air dan elektrik kepada mangsa banjir yang terkesan dengan musibah itu.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, perkara itu dibangkitkan sendiri oleh penduduk yang terkesan kerana perlu menggunakan sumber air dan elektrik dalam kuantiti yang banyak untuk membersihkan kediaman selepas dilanda bencana itu.

"Oleh kerana kerja pembersihan yang sangat besar, jadi ia mengambil banyak penggunaan air dan elektrik, jadi mereka (mangsa) nak dikecualikan pembayaran bil untuk bulan ini,” katanya pada sidang media di Parlimen, Kuala Lumpur pada Isnin.

Jelasnya, urusan pembersihan dan membaik pulih rumah serta membeli perkakas baharu juga memerlukan masa yang panjang.

Selain itu, beliau mahu kerajaan membuat pendirian tegas dengan meminta majikan swasta memberikan cuti bergaji kepada mangsa banjir sama seperti yang diumumkan kepada penjawat awam bagi membolehkan mereka menguruskan kerja pembersihan.

Yeoh turut meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menghulurkan bantuan segera kepada mangsa banjir bagi memastikan tiada warga emas dan Orang Kelainan Upaya yang terlepas daripada mendapat bantuan segera. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

hannah yeoh, tnb, air selangor, banjir,