Tular video siren amaran Sungai Klang dibunyikan


  • Tular
  • Ahad, 19 Dis 2021

KEADAAN paras air sungai bersebelahan Empangan Klang Gate yang meningkat berikutan hujan luar biasa sejak pagi Jumaat. — Facebook

KEJADIAN banjir akibat hujan luar biasa sejak pagi Jumaat ditambah dengan kejadian air pasang yang melanda sebahagian kawasan di Selangor semakin meruncing hingga situasi itu memburukkan keadaan semasa.

Terbaharu menerusi perkongsian video orang awam, siren amaran Sungai Klang di Tun Perak dikatakan telah dibunyikan kira-kira pukul 2 pagi Ahad memandangkan air sungai itu di paras bahaya dan berkemungkinan akan melimpah keluar.

Rakaman video itu dikongsikan pengguna Facebook, Jessie Ooi di laman Facebook Info Berita Semasa.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Azym Azizi menasihatkan penduduk di sekitar laluan Sungai Klang supaya lebih baik beredar dari kawasan tersebut secepat mungkin.

azym

TANGKAP layar status Azym Azizi berhubung paras air Sungai Klang. — Facebook

Ini kerana katanya, air banjir mungkin naik ke paras lebih tinggi di kawasan terlibat lebih-lebih lagi air laut pasang besar pagi Ahad.

"Sungai Batu bergabung dengan Sungai Gombak di PWTC. Sungai ini pula bertemu dengan Sungai Klang di Masjid Jamek Kuala Lumpur.

"Sungai Klang ini terus mengalir melalui Brickfields, Pantai Dalam, Taman OUG, Bandar Puchong Jaya, Taman Perindustrian USJ 1, Kampung Puchong Tengah, Kampung Sri Aman, Kampung Bukit Lanchong, Kampung Baru Hicom, Seksyen 35 Shah Alam, Seksyen 24 Shah Alam, Kampung Padang Jawa, pekan Klang dan terus ke Port Klang.

"Bawa bersama dokumen penting, pakaian kering, air kosong sebagai persiapan," tulisnya.

Sebagai rekod, stesen siren amaran awal banjir ini diletakkan di kawasan sungai yang berdekatan dengan perumahan. Ia mempunyai dua keadaan bunyi iaitu bunyi pertama adalah amaran apabila paras air sungai telah melimpahi kawasan tebing.

Bunyi kedua pula menggambarkan keadaan bahaya dan meminta penduduk bersedia dipindahkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram