DUA daerah di Selangor iaitu Klang dan Sepang merupakan lokasi yang paling teruk terjejas banjir susulan hujan lebat sejak Jumaat.
Tiga lokasi di kawasan Shah Alam, Banting dan Kuala Langat pula mengalami peningkatan paras air hingga melibatkan pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed, pihak polis berharap orang ramai lebih berhati-hati dan mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa supaya tidak terperangkap dalam banjir.
"Diharap orang ramai terutama kanak-kanak supaya menjauhi kawasan banjir bagi mengelak kejadian tidak diingini.
"Tinjauan pihaknya di sekitar Pelabuhan Klang mendapati keadaan air di kawasan tersebut masih terkawal namun paras air semakin meningkat di beberapa tempat terutama di sungai-sungai utama di Selangor," katanya pada sidang media secara maya melalui Facebook Polis Klang Selatan pada Sabtu.
Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata dua pengunjung hotel dilaporkan hampir lemas dalam satu kejadian di Shah Alam, Selangor.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika kedua mangsa sedang mengalihkan kenderaan di ruang parkir bawah tanah bangunan tersebut kira-kira pukul 3.30 petang Sabtu.
"Anggota bomba bertindak mengeluarkan kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu sebelum paras air naik.
"Pihak kami turut mengalami masalah apabila jentera bomba terkandas akibat banjir ketika menuju ke lokasi mangsa namun kenderaan itu dapat bergerak tidak lama kemudian," ujarnya.
Dalam pada itu, menurut laman sesawang Info Bencana Jabatan Kemajuan Masyarakat, 41 PPS dibuka di Selangor setakat 7 malam Sabtu bagi menempatkan seramai 3,361 mangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram