JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyarankan orang ramai menangguhkan perjalanan di sekitar Lembah Klang bagi mengelak kenderaan terkandas berikutan situasi banjir ketika ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, ia susulan beberapa kawasan Lembah Klang khususnya Kuala Lumpur dan Selangor masih menerima hujan yang menyebabkan paras air banjir meningkat.
"Buat masa ini tangguhkan dahulu perjalanan di kawasan khususnya di Lembah Klang memandangkan kita lihat ada beberapa kes mereka ini (pengguna jalan raya) terperangkap sampai berbelas jam dan tiada makanan serta minuman di dalam kereta.
"Kalau nak merancang perjalanan, kenal pasti dahulu lokasi yang dirasakan selamat dan tanyalah orang yang berada di kawasan persekitaran (yang ingin dituju itu)," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Teluk Gong, Klang, Selangor pada Ahad.
Mohammad Hamdan turut mengingatkan pegawai dan anggotanya supaya sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri ketika menjalankan tugas dalam keadaan banjir ketika pandemik Covid-19.
Beliau berkata, arahan itu dikeluarkan kepada semua pengarah bomba negeri terutama negeri yang terlibat dengan banjir.
"Kita percaya banyak tempat memerlukan bantuan dan kita akan memberikan bantuan sebaik mungkin. Kita juga akan pastikan dari segi giliran kerja, kebajikan, kesihatan serta keselamatan anggota diberi perhatian.
"Saya minta untuk dibuat penggiliran dan kita telah bekukan cuti di kawasan negeri yang terlibat dengan banjir," katanya sambil menambah seramai 27 anggota bomba juga sedang menjalani proses kuarantin ekoran dijangkiti Covid-19. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram