Bantuan bayaran pinjaman bagi mangsa banjir


  • Primer
  • Ahad, 19 Dis 2021

ISMAIL Sabri melawat salah seorang mangsa banjir yang menderita penyakit lumpuh di PPS Sekolah Kebangsaan Telok Gong, Klang, Selangor pada Ahad. — Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Kementerian Kewangan supaya institusi perbankan bersedia menawarkan program bantuan pembayaran bagi para peminjam yang terkesan akibat banjir.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ismail Sabri menerusi kenyataan di laman Twitter rasminya pada Ahad.

Selain itu, kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan awal sebanyak RM100 juta untuk pasca banjir bagi membaiki kerosakan rumah dan infrastruktur lain.

"Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi tujuan ini.

"Peruntukan ini akan ditambah masa ke masa mengikut keperluan," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan beliau akan memastikan setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mempunyai kelengkapan dan keperluan asas mencukupi seperti tandas, pelitup muka serta makanan buat mangsa banjir.

"Sekurang-kurangnya seorang doktor dan seorang jururawat akan ditempatkan di setiap PPS bagi memastikan kesihatan mangsa-mangsa banjir diberi perhatian.

"Mangsa-mangsa juga akan melalui saringan kit ujian pantas (RTK) Covid-19 bagi mengelakkan penularan virus itu," menurutnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram