Jalan Jimah–Sendayan ditutup akibat tanah runtuh


  • 112
  • Sabtu, 18 Dis 2021

ANGGOTA JKR sedang melakukan pemantauan di kawasan tanah runtuh. — Sinar Harian

LALUAN jalan Jimah Lama – Sendayan menuju ke Port Dickson berhampiran Bayu Sutera, dekat Port Dickson, Negeri Sembilan terpaksa ditutup kedua-dua arah buat sementara untuk semua kenderaan ekoran kejadian tanah runtuh.

Kejadian kira-kira jam 5 pagi Sabtu itu disedari anggota bantuan banjir di kawasan berkenaan ketika sedang melakukan pemantauan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Syukri Madnor berkata, kejadian dipercayai berlaku lebih awal kerana hujan lebat berterusan sejak malam Jumaat.

Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan bagi mengelakkan lebih banyak tanah runtuh.

"Anggota APM dan bomba yang turun ke lokasi banjir di Kampung Jimah jam 5.50 pagi mendapati terdapat tanah runtuh akibat laluan air melimpah," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Sementara itu, tinjauan pemberita di lokasi pada Sabtu mendapati, JKR sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan.

Difahamkan, kejadian dipercayai berpunca daripada longkang projek perumahan bersebelahan jalan runtuh dan menyebabkan paip pecah. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram