LOKASI tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di Ipoh yang berlaku pada Khamis lepas masih menunjukkan tanda-tanda pergerakan tanah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, laluan itu masih ditutup bagi membolehkan Cawangan Cerun daripada Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan kajian dan tindakan lanjut.
"Pihak JKR diharapkan dapat sentiasa memantau akan keadaan di situ termasuk menggunakan alat yang boleh mengesan pergerakan tanah.
"Harap mereka akan sentiasa berjaga-jaga dengan segala kemungkinan sekiranya berlaku pergerakan tanah kerana semalam (Jumaat) juga ada tanda-tanda ia terjadi sebab itu kami tutup jalan untuk kajian," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Persidangan Dewan Belia Perak yang diadakan selama dua hari di Pusat Konvensyen Casuarina Meru bermula Sabtu.
Insiden tanah runtuh tengah hari Khamis lepas menyebabkan pemandu lori Muhammad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu MPV Toyota Alphard dikenali sebagai Tan Chee Heng, 36, maut akibat tertimbus sebelum mayat mereka berjaya dikeluarkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat pada malam hari kejadian.
Dalam pada itu, Saarani berkata, orang ramai yang ingin melakukan perjalanan ke Cameron Highlands diminta menggunakan Jalan Tapah-Ringlet yang telah dibuka semula kepada semua lalu lintas bermula 5 petang Khamis lepas.
"Laluan itu juga ditutup akibat tanah runtuh sebelum ini namun telah dibuka sepenuhnya kepada pengguna jadi mereka yang melalui jalan bercerun diminta berhati-hati terutama apabila hujan yang kebarangkalian berlakunya tanah runtuh adalah tinggi," katanya.
Pada 23 November lepas, laluan kedua-dua arah Jalan Persekutuan FT059 Tapah-Ringlet (Cameron Highlands) terpaksa ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan susulan berlakunya runtuhan tanah di laluan Batu 25 dan Batu 26 hingga menyebabkan laluan kedua-dua arah terhalang. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram