17 keluarga di Gua Musang berpindah, bimbang serangan harimau


  • 112
  • Isnin, 13 Dis 2021

SEEKOR daripada tiga harimau belang yang dikesan berkeliaran di Kampung Remau, Pos Bihai, Gua Musang di Kelantan. — Facebook

SERAMAI 17 keluarga Orang Asli dari Kampung Remau, Pos Bihai, Gua Musang di Kelantan, terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing susulan ternampak kelibat tiga ekor harimau belang dewasa di sekitar kebun dan kawasan kediaman mereka sejak 10 Disember lalu.

Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gua Musang, Azman Ngadiron berkata, rata-rata penduduk bertindak untuk berpindah ke Kampung Tendrik, Pos Bihai setelah menyedari kehadiran haiwan liar itu yang didapati berkeliaran di sekitar kawasan penempatan mereka.

"Terdapat beberapa penduduk memilih berpindah ke dewan, rumah saudara atau rakan buat sementara waktu kerana bimbang sekiranya diserang haiwan liar berkenaan.

"Pihak kami juga telah melaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengenai kehadiran tiga ekor harimau dipercayai daripada ‘satu keluarga’ pada Jumaat lepas," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Mengulas lanjut, Azman bagaimanapun berkata, kesemua penduduk Orang Asli dari Suku Temiar itu telah diberi bantuan makanan asas daripada pihaknya bagi meringankan beban dan kesusahan yang ditanggung kerana terpaksa berpindah dari kampung halaman mereka.

"Kita juga ingin menasihatkan kepada penduduk sekitar Kampung Remau agar berhati-hati dan berwaspada melaksanakan aktiviti seharian dengan memaklumkan segera sekiranya melihat kehadiran haiwan itu.

"Penduduk juga diminta membersihkan kawasan kebun dan kediaman mereka bagi mengelak kawasan bersemak supaya tidak menjadi tempat persembunyian haiwan liar berkenaan sebelum merancang strategi menyerang manusia,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan orang asli dari Kampung Badak, Pos Bihai iaitu Adin Andok, 45, berdepan detik cemas apabila diserang seekor harimau belang betina pada 4 Julai lepas dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang di kebun ubi kayu, di Gua Musang. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Orang Asli, pindah, harimau belang, JAKOA, kelibat