Rakyat perlu bersabar lagi sebulan, harga barang keperluan dijangka turun Januari 2022


  • Primer
  • Sabtu, 11 Dis 2021

PJKM merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat. — Bernama

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjangkakan harga barangan keperluan harian, akan kembali stabil sepenuhnya menjelang bulan Januari 2022.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan oleh pihaknya ketika ini mendapati, harga barangan mula stabil dengan sayur-sayuran juga telah menunjukkan penurunan harga.

"Harga barang (keperluan harian) mula stabil dan sayur pun sudah menunjukkan penurunan, ia berikutan beberapa faktor (harga stabil) antaranya macam sayur-sayuran di mana cuaca di kawasan pengeluarannya semakin baik.

"Selain itu, Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang menawarkan barangan keperluan harian dengan harga sehingga 20 peratus rendah daripada harga pasaran dan usaha mengimport ayam sejuk beku juga antara faktor harga kembali stabil, kita jangka menjelang Januari atau Februari (harga barang) stabil semula,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Beliau ditemui selepas merasmikan PKJM yang dijalankan di perkarangan Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), di Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang turut hadiri Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, PJKM yang dilancarkan pada 2 Disember 2021 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu telah dijalankan di 15 kawasan parlimen di seluruh negara setakat ini dan sehingga semalam hasil jualan di program tersebut ialah sebanyak RM423,844.

Katanya program itu yang dirancang dilaksanakan dua kali sebulan menerima sambutan yang cukup menggalakkan daripada orang ramai kerana mereka mahu membeli barangan dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran.

"Sehingga semalam (Jumaat) seramai 28,000 pengunjung hadir di program itu untuk membeli barangan keperluan harian yang dijual antaranya ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung dan beras,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan PJKM yang dikendalikan oleh KPDNHEP diadakan sebagai inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat, terutamanya dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah dan menangani situasi kenaikan harga barangan yang melanda.

"Program ini dilaksanakan di semua 222 kawasan parlimen di seluruh negara sehingga bulan Mac tahun depan, dan jika ada keperluan selepas itu mungkin kita teruskan namun jika harga barangan keperluan harian sudah kembali, kami akan membuat pemantauan berterusan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram