Birokrasi punca Bumiputera tidak minat inisiatif kerajaan, kata pakar ekonomi


  • Massa
  • Khamis, 09 Dis 2021

ISMAIL Sabri Yaakob (dua, kiri) melawat ruang pameran selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran TPB2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin . —Bernama
KERENAH birokrasi merupakan faktor golongan Bumiputera kurang bermotivasi untuk menggunakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan seperti insiatif Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030), kata pakar ekonomi.

Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Saizal Pinjaman berkata, sebahagian dari golongan Bumiputera kurang bermotivasi untuk mendapatkan kemudahan yang disediakan kerajaan ekoran kerenah birokrasi yang perlu dihadapi mereka.

"Sebahagian daripada Bumiputera ini membayangkan proses yang perlu dilalui untuk mendapatkan kemudahan ini adalah lama.

"Kerajaan perlu kurangkan dua perkara iaitu kurangkan kertas kerja dan kurangkan proses yang tidak perlu. Urusan yang terlalu banyak kertas kerja dan proses ini kita boleh kurangkan dengan penggunaan teknologi, " kata Saizal kepada Majoriti.

saiazal
DR Saizal Pinjaman


Dia turut mencadangkan, bagi menyeru golongan Bumiputera ini menggunakan kemudahan yang disediakan, kerajaan perlu berusaha untuk meningkatkan kesedaran dalam kalanganBumiputera tentang program yang sedang dilaksanakan dan faedah inisiatif-inisiatif tersebut kepada mereka.

"Ini adalah kerana, ada kalangan Bumiputera yang mungkin tidak mengetahui tentang usaha-usaha tersebut atau mendengarnya namun tidak tahu bagaimana ianya boleh diperolehi," kata Saizal.

Dalam pada itu, Saizal berkata, bagi memperkasakan tahap sosioekonomi bumiputera, kerajaan perlu mengambil kira beberapa cabaran antaranya kenaikan kos sara hidup.

"Antara kos sara hidup adalah peningkatan harga barang dan tempat tinggal yang boleh menjejaskan kemampuan perbelanjaan Bumiputera, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan bandar.

"Dengan kenaikan kos sara hidup ini, usaha yang dicapai melalui TPB2030 dalam meningkatkan nisbah penengah gaji upah dan pendapatan isi rumah tidak akan membawa impak sosioekonomi yang besar," katanya.

Pensyarah UMS itu juga berpendapat bahawa usaha juga perlu digembleng bagi memastikan penciptaan sebahagian besar pekerjaan langsung melalui inisiatif TPB2030 adalah melibatkan pekerjaan yang berkualiti dan berkemahiran bagi mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi dalam kalangan Bumiputera.

"Langkah memperkasakan modal insan melalui latihan perlu dilakukan dari masa ke semasa di samping menyediakan khidmat sokongan dan persekitaran kerja yang kondusif agar produktiviti pekerja sentiasa berkembang dan sekali gus membawa kepada peningkatan upah," tambah Saizal.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga kini, matlamat untuk mencapai 30 peratus penguasaan ekuiti Bumiputera tidak pernah tercapai walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan sebelum ini untuk menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi pelbagai kaum di negara ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram