SEBANYAK 29 kompaun dengan nilai berjumlah RM165,000 dikeluarkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pengunjung dan pemilik sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur pada Isnin.
Kompaun berkenaan dikeluarkan susulan serbuan dalam Operasi Pematuhan Khas Covid-19 yang dilakukan terhadap premis berkenaan.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Kuala Lumpur, Penolong Komissioner Kanan, Datuk Azman Ayob berkata, serbuan tersebut melibatkan 18 pegawai dan anggota jabatan.
"Pihak polis mengeluarkan 28 kompaun terhadap pengunjung pusat hiburan berkenaan dengan nilai berjumlah RM140,000 manakala satu lagi kompaun terhadap pemilik permis (RM25,000).
"Kesemua mereka didapati melakukan kesalahan melakukan aktiviti terlarang di dalam pub dan kelab malam sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 bagi Kuala Lumpur," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, kompaun tersebut dikeluarka mengikut Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021.
Sementara itu, Azman turut memberitahu pihak polis akan terus mempergiat usaha untuk memastikan kepatuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Operasi seperti ini akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19 di Kuala Lumpur, khususnya," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram