Pendaki 52 tahun sesak nafas di Bukit Mor Muar


  • Podium
  • Isnin, 06 Dis 2021

MANGSA dibawa turun oleh pihak bomba ke kaki bukit menggunakan pengusung. — Gambar ihsan Bomba

SEORANG lelaki berusia 52 tahun diselamatkan oleh pasukan bomba selepas mengalami sesak nafas ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Mor, Muar pada Ahad.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Pegawai Bomba Kanan II Zuraimi Harun berkata, pihaknya menerima panggilan berhubungan kejadian tersebut pada jam 5.05 petang.

"Mangsa berusia 52 tahun mengalami sesak nafas dan serangan jantung semasa melakukan aktiviti mendaki bukit.

"Mangsa yang menjalankan aktiviti mendaki bersama keluarga berada dalam keadaan sedar tetapi mengalami sesak nafas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Zuraimi, seramai 12 anggota, satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua unit Bermotor Bomba (RIM) dikerah ke lokasi kejadian.

Tambahnya, mangsa dibawa turun ke kaki bukit menggunakan pengusung dan operasi menyelamat tamat pada jam 7.58 malam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram