3 Disember diisytihar Hari Batik Malaysia


  • Primer
  • Rabu, 01 Dis 2021

KERAJAAN menetapkan setiap hari Khamis sebagai hari pemakaian batik Malaysia untuk semua penjawat awam dan Keluarga Malaysia termasuk di Parlimen. — CHAN BOON KAI/The Star

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan tarikh 3 Disember setiap tahun sebagai Hari Batik Malaysia bermula tahun ini.

Dalam ucapan khas disiarkan melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) di saluran TV1 dan media sosial pada malam Rabu, beliau berkata, kerajaan berharap dengan pengisytiharan hari tersebut ia dapat menggalakkan seluruh rakyat termasuk pihak swasta dan semua masyarakat berbilang kaum untuk memakai pakaian batik Malaysia.

Katanya, usaha berkenaan bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia di mana seluruh rakyat berbilang kaum bersatu hati dalam menggayakan keunikan dan keindahan batik tempatan.

“Saya percaya, pengisytiharan hari tersebut juga dapat menjadi pemangkin kepada pemerkasaan industri kraf batik tempatan dan rantaian pengeluaran batik negara,” katanya.

Jelas Ismail Sabri pemilihan tarikh itu yang dipersetujui Jemaah Menteri pada 26 November lepas adalah sebagai tanda penghargaan atas sumbangan, sokongan dan minat dalam kraf batik ditonjolkan Allahyarhamah Tun Endon Mahmood, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia Kelima, Tun Abdullah Badawi.

Perdana Menteri berkata, pada tarikh sama pada tahun 2003, Allahyarhamah telah memulakan sebuah gerakan Malaysian Batik-Crafted for the World untuk membawa batik tempatan ke persada antarabangsa.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelancongan dan Budaya (MOTAC) atas usaha jitu dalam merealisasikan hari bersejarah itu.

“Saya amat gembira menyaksikan usaha MOTAC melalui Kraftangan Malaysia dalam membangunkan industri kraf batik negara agar terus mampan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran ekonomi global,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga telah menetapkan setiap hari Khamis sebagai hari pemakaian batik Malaysia untuk semua penjawat awam dan Keluarga Malaysia termasuk di Parlimen. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram