Mohd Rafiq umum letak jawatan dalam Bersatu Melaka


  • Politik
  • Jumaat, 26 Nov 2021

PELETAKAN jawatan Mohd Rafiq antara lain bagi memberi peluang kepada kepimpinan baru untuk mengetuai Bersatu Melaka. — Facebook

NAIB Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen umum meletak jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkuat kuasa serta-merta.

Mohd Rafiq memaklumkan surat rasmi peletakan jawatan akan diserahkan kepada Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu.

Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, beliau turut memohon jutaan kemaafan atas segala kekhilafan sepanjang menjalankan tugas berkenaan.

Peletakan jawatan itu, menurutnya, bagi memberi peluang kepada kepimpinan baru untuk mengetuai Bersatu Melaka dan PN Melaka supaya mempunyai masa yang mencukupi bagi membuat segala persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Tindakan melepaskan jawatan ini juga bagi membolehkan segala fokus dapat diberikan untuk memperkukuhkan kedudukan dan sokongan rakyat terhadap PN Parlimen Tangga Batu dan Bersatu Bahagian Tangga Batu.

"Ia juga bagi membolehkan dirinya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab sebagai Naib Presiden Bersatu menjelang PRU15," katanya.

Sementara itu, beliau turut berharap dan berdoa agar rakyat Melaka dan Malaysia dapat terus memberikan sokongan kepada PN pimpinan Muhyiddin.

Turut disampaikan harapan agar PN akan mencapai kejayaan yang cemerlang pada PRU15 yang bakal tiba nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram