16 suspek ditahan bunuh ah long 'senior' kerana dendam di Klang


  • 112
  • Jumaat, 19 Nov 2021

ARJUNAIDI memberitahu polis kini dalam proses menyiapkan siasatan sebelum dihantar kepada timbalan pendakwa raya. — The Star

POLIS menahan 16 suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang ah long di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bukit Tinggi, Klang pada 6 November 2021.

Susulan tangkapan itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mengesahkan kejadian itu lalu melibatkan perselisihan faham antara kongsi gelap Geng 24.

Menurut beliau, semua suspek ditahan di sekitar Lembah Klang dan Johor.

"Polis kini dalam proses menyiapkan siasatan sebelum dihantar kepada timbalan pendakwa raya.

"Kita percaya suspek merupakan anggota Geng 24 dan mangsa juga dipercayai ahli kongsi gelap," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau lagi, penahanan suspek bermula dengan enam lelaki di sekitar Klang dan Banting membawa kepada penahanan tiga lagi suspek pada 10 November kira-kira jam 10.30 malam.

Jelasnya, semua mereka ditahan di sebuah restoran di Bandar Baru Seri Petaling.

"Mereka kini direman selama 13 hari membabitkan dua fasa masing-masing tujuh hari dan bersambung enam hari bermula 11 hingga 23 November.

"Pada 11 November pihak polis turut berjaya menahan empat lagi suspek terdiri daripada lelaki tempatan di sekitar Muar dan Segamat, Johor dan direman selama 13 hari bermula 11 hingga 23 November," ujarnya.

Arjunaidi turut memberitahu, hasil soal siasat polis menemui lokasi pembakaran pakaian dan senjata yang digunakan dalam kejadian di Taman Sentosa Klang itu.

"Suspek turut menunjukkan tempat membuang senjata yang digunakan dari Jambatan Kota ke dalam Sungai Klang.

"Polis juga mengenal pasti lokasi rumah inap yang disewa suspek sebelum dan selepas kejadian di Bandar Botanik Klang," tambahnya.

Kongsinya lagi, susulan penahanan itu polis turut merampas beberapa barang termasuk kereta Honda Accord, kereta Proton X70, sehelai seluar pendek berwarna kelabu dan baju T dan wang tunai berjumlah RM19,198 dipercayai sebagai upah menetak mangsa.

Dalam tangkapan di Johor polis merampas sebuah kereta jenis Toyota Camry dan Toyota Vios yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Terdahulu, pada 6 November 2021, seorang lelaki berumur 47 tahun dipercayai ah long maut ditetak dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bukit Tinggi Klang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas didatangi tiga individu bersenjatakan parang sebelum dua daripadanya bertindak menetaknya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ah long, maut, bunuh, suspek, PDRM, Arjunaidi Mohamed