Polis cekup 19 individu guna, jual darjah kebesaran Kedah yang tidak diiktiraf


  • 112
  • Khamis, 18 Nov 2021

ANTARA aksesori dan darjah kebesaran negeri Kedah palsu yang digunakan oleh sindiket untuk menjalankan aktiviti penjualan darjah kebesaran Kedah. — Foto PDRM

SERAMAI 19 individu dipercayai terbabit kegiatan penggunaan dan penjualan darjah kebesaran negeri Kedah yang tidak diiktiraf, ditahan dalam beberapa siri operasi bermula 7 November lalu hingga Rabu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek warga tempatan berumur antara 30 hingga 63 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar negeri ini dan beberapa negeri lain.

Menurut beliau, polis menerima laporan berhubung sindiket itu pada 5 Oktober lepas dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang telah mengesan beberapa individu tidak bertanggungjawab menggunakan Darjah Kebesaran Setia Diraja Kedah (DSDK) sebelum mendapat kurniaan Sultan Kedah.

“Bertindak atas laporan tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah telah menjalankan operasi dan berjaya memberkas 19 individu lelaki dan wanita warganegara tempatan yang mempunyai pelbagai latar belakang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barangan, aksesori dan dokumen antaranya kad keahlian Jemaah Dato-Dato Negeri Kedah yang palsu, jata negeri dan beberapa barang berkaitan darjah kebesaran tersebut yang digunakan oleh sindiket itu.

Kamarul Zaman berkata, siasatan mendapati, sindiket tersebut mula aktif sejak 2015 dengan menggunakan modus operandi mendekati individu yang dikenal pasti sebagai golongan elit dan ahli perniagaan.

Menurut beliau, sindiket tersebut kemudian menawarkan gelaran darjah kebesaran negeri Kedah dengan meminta sejumlah bayaran dipercayai antara RM25,000 hingga RM103,000.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017 (Akta 787) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah menjadi mangsa kepada sindiket seperti ini. Jika sesiapa menerima anugerah secara tidak diiktiraf boleh menyemak dengan Kerajaan Negeri Kedah melalui saluran rasmi yang telah ditetapkan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, darjah kebesaran, kedah, sindiket, palsu