Kadar kemasukan hospital akibat Covid-19 meningkat — Khairy


  • Primer
  • Isnin, 22 Nov 2021

KHAIRY beri amaran kadar kemasukan ke hospital akibat Covid-19 semakin meningkat. — The Star

KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan bahawa kadar kemasukan ke hospital akibat Covid-19 kian meningkat, sekali mencetuskan kebimbangan berlakunya gelombang keempat wabak itu di negara ini pada bulan depan.

Menteri Kesihatan itu berkata, kebanyakan kes membabitkan warga emas dan golongan komorbid yang dijangkiti melalui kontak rapat ahli keluarga yang membawa balik virus ke rumah.

"Pakai pelitup muka dan elak tempat yang sesak. Dapatkan booster (dos penggalak) bila diberi temujanji," katanya menerusi hantaran di laman Twitter pada Isnin.

Berdasarkan data dikongsi COVIDNOW, jumlah keseluruhan pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital adalah sebanyak 5,431 (7.9 peratus).

Jumlah pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah sebanyak 541.

Kes di ICU membabitkan 274 (0.4 peratus) pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan manakala 267 (0.4 peratus lagi memerlukan mesin ventilator.

Minggu lalu, Majoriti melaporkan mengenai amaran seorang pakar kesihatan tentang kemungkinan berlakunya gelombang keempat Covid-19 yang dijangka melanda negara pada Disember depan.

Menerusi ciapan di Twitter, Dr Azfar Kamal yang bertugas di Hospital Sungai Buloh memaklumkan, lonjakan kes akan berlaku dalam tempoh dua minggu akan datang.

Menurutnya, pusat Covid-19 sedang melakukan persediaan untuk menghadapi gelombang baharu.

"Wad dan unit rawatan rapi (ICU) hospital kembali dipenuhi oleh pesakit Covid-19 kategori empat dan lima.

"Tolong amalkan prosedur operasi standard (SOP), basuh tangan dan jaga jarak selain memakai pelitup muka sepanjang masa. Bagi mereka yang bakal ke luar negara, dapatkan dos penggalak segera. Jaga diri," katanya pada 17 November lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram