ROTI Gardenia menaikkan harga dari sekitar 10 hingga 45 sen bagi pengguna di Semenanjung Malaysia mulai 1 Disember ini.
Dalam satu kenyataan,menurut Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd pada Khamis berkata perubahan itu dibuat kerana syarikat itu terjejas teruk oleh kenaikan kos akibat penularan wabak Covid-19.
"Gardenia KL juga terjejas dengan cabaran ini dan telah berusaha sedaya upaya untuk menyerap kenaikan harga bahan mentah," jelas syarikat itu.
“Namun, peningkatan besar dalam pembuatan dan kos bahan yang di luar kawalan kami telah meletakkan Gardenia KL dalam kedudukan sukar tanpa alternatif kecuali melaksanakan semakan harga ke atas produk Gardenia berkuat kuasa 1 Disember 2021,” kata syarikat itu.
"Semakan harga ini membabitkan produk tertentu yang mengekalkan harga sama selama bertahun-tahun, termasuk rangkaian roti Gardenia Original Classic termasuk produk lain iaitu Gardenia Delicia, ban, roti krim, mufin, Gardenia Twiggies, wafel dan Gardenia NuMee.
"Semakan harga ini dilaksanakan berikutan kenaikan harga bahan mentah antara lain termasuk tepung, tepung gandum penuh, lemak sayuran, serbuk koko, susu dan pembungkusan," katanya.
Surat yang tular di media sosial menunjukkan harga baharu Roti Gardenia.
Tambah kenyataan itu, kenaikan harga sebenarnya adalah langkah terakhir setelah semua usaha dilakukan oleh syarikat itu.
Syarikat itu berkata, mereka amat menghargai sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan selama ini dan berharap pelanggan memahami keputusan sukar yang terpaksa dilaksanakan itu.
Pada Khamis tular dalam media sosial sekeping surat dari syarikat itu kepada peruncit, memaklumkan mengenai kenaikan harga bermula 1 Disember ini.
Berdasarkan senarai tersebut, sebanyak 38 produk tersenarai dan akan mula dijual pada harga baharu bermula dari tarikh tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram