Dari Sungai Petani ke Butterworth, hajat Aziana naik tren akhirnya tercapai


  • Massa
  • Rabu, 24 Nov 2021

AZIANA memasang impian untuk menaiki kereta api sejak kecil lagi. — Facebook/KTMB

IMPIAN seorang remaja lumpuh untuk menaiki kereta api tercapai apabila ia direalisasikan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada Rabu.

KTMB berkata, Aziana Shaari, 17, kelihatan ceria sepanjang 35 minit tempoh perjalanannya dari Sungai Petani, Kedah ke Butterworth, Pulau Pinang.

"Lebih-lebih lagi apabila tren khas tersebut berhenti seminit di hadapan rumah beliau dan di Jambatan Putar Perai," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Turut serta menaiki kereta api itu adalah Pengerusi KTMB, Datuk Musa Sheikh Fadzir, Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin dan Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Md Taha.

"Seluruh warga kerja KTMB mendoakan kesembuhan adik Aziana," katanya.

Terdahulu, Aziana mempunyai impian untuk menaiki kenderaan terpanjang di darat itu sejak kecil lagi, namun hasratnya itu tidak tercapai akibat terlibat dalam kemalangan ditimpa dinding konkrit ketika berusia 10 tahun.

Kejadian itu mengakibatkan tulang belakang Aziana hancur selain mengalami kecacatan kekal apabila buah pinggangnya rosak, usus tidak berfungsi selain tidak mempunyai deria rasa dari paras pinggang hingga kaki. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram