Tiga hukuman berat untuk pesalah rasuah


  • Massa
  • Selasa, 23 Nov 2021

MALAYSIA hanya mengenakan hukuman denda lima kali ganda berbanding nilai suapan dan penjara kepada pesalah rasuah.

ISU rasuah di Malaysia semakin hari semakin menjadi-jadi dan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2020 adalah pada tangga ke- 57.

Bagi menunjukkan kerajaan serius dengan usaha membanteras rasuah dalam negara, Gerakan Revolusi Anak Malaysia (G3RAM) mencadangkan agar kerajaan meningkatkan hukuman yang lebih berat seperti penjara seumur hidup ataupun sebatan kepada individu terlibat rasuah.

Cadangan itu ternyata disokong oleh kumpulan antirasuah, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), yang mahukan hukuman lebih berat dikenakan kepada pesalah rasuah.jais

Presiden MCW, Jais Karim

Menyambut baik cadangan G3RAM, Presiden MCW, Jais Karim berkata kajian dan pelaksanaan hukuman rotan mandatori dan penjara seumur hidup dilaksanakan segera agar para pesalah dihukum setimpal dengan kesalahan mereka itu.

"Hukuman yang lebih berat amat diperlukan memandangkan negara kita berhadapan ancaman rasuah yang tinggi dan hukuman sebat adalah hukuman yang perlu dillaksanakan dengan segera," katanya kepada Majoriti.

Selain itu, MCW juga mencadangkan agar hukuman tahanan tanpa jaminan dan had dilaksanakan supaya tidak memberikan peluang kepada perasuah menghapuskan bahan bukti atau mempengaruhi saksi yang terlibat.

Ditanya sama ada kesesuaian pelaksanaan hukuman mati terhadap pesalah rasuah, Jais berkata hukuman itu tidak boleh dilaksanakan kerana kerajaan dalam proses memansuhkannya.

Jelasnya, usaha kerajaan itu adalah mengikut pelbagai sistem perundangan lain di dunia dan selaras dengan kehendak hak asasi manusia di Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tambahnya, disebabkan hukuman mati itu mustahil dilaksanakan di negara ini, beliau berpendapat ia boleh digantikan dengan hukuman sebatan kepada mereka yang terbukti bersalah.

"Sekurang-kurangnya 10 sebatan mencukupi agar mereka tidak lagi melakukannya dan menjadi amaran kepada orang lain," kata Jais.

Sebagai rekod, undang-undang di China mmembolehkan hukuman mati dikenakan ke atas pesalah rasuah dalam kes melebihi 100,000 yuan (RM52,251) dan penangguhan hukuman mati biasanya diringankan menjadi penjara seumur hidup.

Setakat ini, undang-undang di Malaysia hanya mengenakan hukuman denda lima kali ganda berbanding nilai suapan dan penjara kepada pesalah rasuah.

Akta khas yang memperuntukkan undang-undang ini ialah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram