Lagi kes positif babit staf hotel di Langkawi


  • Primer
  • Isnin, 22 Nov 2021

The Datai Langkawi menutup sementara pengoperasiannya selepas 16 kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan pekerjanya. - Gambar The Datai Langkawi

PUSAT penginapan lima bintang, The Datai Langkawi menutup sementara pengoperasiannya selepas 16 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pekerjanya.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, hotel mewah itu dijangka menutup operasinya untuk tempoh 10 hari bermula Isnin.

Kenyataan itu berkata, kesemua mereka dikesan positif wabak itu ketika pihak pengurusan menjalankan ujian saringan secara berkala bagi memastikan keselamatan tetamu dan kakitangan.

"Mereka yang disahkan positif telah diasingkan dan diarah kuarantin, manakala pembersihan dan sanitasi terperinci akan dilaksanakan di resort berkenaan," kata kenyatan itu pada Isnin.

Sementara itu, The Datai Langkawi memaklumkan bahawa semua kontak rapat sehingga kepada kontrak peringkat menengah telah dikesan.

"Kami juga telah melaksanakan ujian susulan ke atas ahli pasukan lain secara rawak. Ketika siasatan terperinci dan teliti, kes-kes positif berikutnya telah disahkan. Pihak pengurusan resort segera mengaktifkan kuarantin.

"Sebagai sebahagian daripada prosedur dan atas kewaspadaan serta keprihatinan terhadap kesejahteraan tetamu dan pekerja, kami terpaksa menutup pusat penginapan kami. Kami turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami tetamu," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak resort menawarkan pertukaran tarikh atau pembatalan percuma tanpa penalti dan bayaran balik penuh kepada sebarang tempahan sedia ada untuk tarikh penginapan termasuk dalam tempoh penutupan sementara.

Kenyataan itu turut memaklumkan, semua tetamu yang terbabit akan dihubungi terus untuk pilihan alternatif.

Pada 4 Oktober lalu, sebuah hotel terkemuka lain di Langkawi terpaksa menutup operasinya buat sementara waktu susulan seramai 59 kakitangannya disahkan positif Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram