Covid-19: Hotel terkemuka Langkawi tutup operasi sementara


  • Primer
  • Isnin, 04 Okt 2021

SERAMAI 249 orang telah menjalani ujian saringan dengan tiga individu masih menunggu keputusan.

SEBUAH hotel terkemuka di Langkawi terpaksa menutup operasinya buat sementara waktu susulan seramai 59 kakitangannya disahkan positif Covid-19, kata Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo.

Menurutnya, penularan jangkitan itu sekali gus telah mewujudkan Kluster Dah Teluk Nibung sejak 1 Oktober lalu yang juga merupakan kluster tempat kerja.

"Siasatan awal mendapati penularan jangkitan disyaki bermula daripada komuniti, seterusnya merebak di tempat kerja.

"Setakat ini seramai 249 orang telah menjalani ujian saringan dengan tiga individu masih menunggu keputusan.

"Bagaimanapun, sehingga kini penularan jangkitan adalah terkawal dan melibatkan pekerja tempatan serta kontak rapat ahli keluarga sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah juga mengambil tindakan pantas mengenal pasti semua kontak rapat yang terlibat.

"Mereka telah diarahkan menjalani ujian saringan serta Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selama 10 hari.

"Sebagai langkah keselamatan, pihak pengurusan hotel bersetuju untuk menutup operasi mereka secara sukarela buat sementara waktu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram