CUACA baik dan tiada hujan tetapi air kekal bertakung, itu yang meresahkan penduduk Kampung Bawah Lembah, Gual Periok, dekat Rantau Panjang, Kelantan apabila terpaksa berdepan dengan banjir termenung yang berlarutan sejak lima hari lalu.
Seorang penduduk Sabri Ya, 48, berkata, keadaan itu dipercayai berlaku disebabkan projek pembinaan tebatan banjir di kawasan berdekatan.
Katanya berikutan banjir termenung itu dia terpaksa memindahkan kira-kira 1,000 anak pokok sawit ke ladang miliknya biarpun belum cukup tempoh matang kerana kawasan rumahnya digenangi air.
"Biasanya anak pokok sawit ini saya simpan di kawasan rumah kira-kira tiga hingga empat bulan sebelum dipindahkan ke ladang di Bukit Pak Junoh dan proses pemindahan dilakukan pada Disember atau Januari.
"Namun sejak Khamis lepas, kawasan sekitar kampung digenangi air termasuk rumah saya yang dinaiki air kira-kira 0.3 meter. Jadi saya perlu segera pindahkan anak pokok sawit ini ke ladang supaya tidak rosak,” katanya.
Sabri berkata, setiap tahun apabila hujan turun lebih sehari, kawasan kampung itu memang akan dinaiki air tetapi akan segera surut.
"Berbeza pula tahun ini, apabila air tidak surut sehingga berlaku banjir termenung. Saya risau keadaan menjadi lebih buruk kerana negeri ini sedang beralih ke Monsun Timur Laut bermula bulan ini,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan Zainuddin Hussin berkata, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, di Pasir Mas kekal 31 orang daripada enam keluarga setakat tengah hari Isnin. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram