SMG raikan sambutan ulang tahun ke-50


  • Primer
  • Rabu, 10 Nov 2021

Malam Gala Ulang Tahun ke-50 SMG di salah sebuah hotel di ibu negara pada malam Selasa. — Foto IZZRAFIQ ALIAS

STAR Media Group (SMG) meraikan jubli emasnya menerusi malam gala di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur pada Selasa, kemuncak sambutan ulang tahun ke-50 syarikat itu.

Dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, malam gala itu juga diadakan bagi menghargai sokongan daripada rakan kongsi perniagaan dan pihak berkepentingan SMG.

Menerusi tema "50 tahun Membentuk Negara Bersama", beberapa personaliti terkemuka negara daripada organisasi ternama berkumpul pada malam tersebut.

Pengerusi SMG, Tan Sri Chor Chee Heung berkata, kejayaan The Star adalah hasil daripada hubungan kukuh yang dibina bersama pihak berkepentingan termasuk rakyat, kerajaan dan korporat Malaysia.

"Melangkah ke hadapan, hubungan antara The Star dan rakan kongsi kami ini akan kekal penting ke arah matlamat bersama untuk membuka peluang baharu serta memberikan yang terbaik kepada pengguna," katanya.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada pembaca The Star serta menyifatkan mereka sebagai nadi SMG.

"Anda adalah penggerak di sebalik komitmen kami terhadap kualiti dan kecemerlangan, dan kami mengingati anda dalam apa jua yang kami lakukan," katanya.

Chee Heung juga melihat evolusi The Star daripada kertas bercetak kepada salah satu penyedia penyelesaian media bersepadu teratas di Malaysia.

"Daripada The Star kepada Star Media Group, kita dapat melihat banyak peranan penting Star dalam pembangunan negara dan bagaimana kita terus maju bersama rakyat dan negara ini.

"Pada masa sama, kami kekal dengan prinsip teras iaitu komitmen kami untuk menyediakan berita yang tepat, menarik dan komprehensif kepada pembaca dan teguh dalam misi kami untuk 'Memaklumkan, Menginspirasi dan Menginovasi'.

"Dengan kedudukan unik kami sebagai suara peneraju dalam industri media, Star Media Group akan terus menjalankan peranannya untuk menyokong pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia dalam pembinaan negara melalui pelbagai media cetak, digital, radio dan medium di lapangan," katanya.

Selain itu, badan amal Star Foundation turut melancarkan Star Social Impact Grant yang julung kali diadakan bersempena ulang tahun ke-50 The Star.

Ia diwujudkan untuk menjalinkan kerjasama dengan organisasi sosial bagi memperbaiki kehidupan masyarakat setempat.

Sebanyak empat pihak terpilih untuk menerima geran berjumlah sehingga RM200,000 bagi menyokong projek sosial mereka, yang bertujuan membawa perubahan berkekalan kepada kehidupan dan mata pencarian di seluruh negara.

Malam gala itu turut menampilkan persembahan istimewa daripada penyanyi Misha Omar, juruhebah radio SMG dari 988 dan Suria. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

SMG, The Star, Ulang Tahun ke-50, jubli emas