PRN Melaka: Simbol kunci, buku, pokok jadi pilihan calon Bebas


  • Politik
  • Selasa, 09 Nov 2021

PERANG bendera kian meriah menjelang PRN Melaka pada 20 November kelak. — Bernama
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan seramai 22 calon Bebas menawarkan diri bertanding di 16 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan majoritinya memilih simbol buku.

Daripada jumlah calon Bebas berkenaan, 10 calon memilih untuk menggunakan simbol buku, kunci (5), pokok (3) dan masing-masing satu bagi simbol arnab, traktor, tali leher dan pen bagi mewakili diri mereka sepanjang PRN Melaka berlangsung.

Malah, simbol pilihan mereka itu juga menjadi elemen penting yang perlu diketengahkan bagi memastikan penyokong dan pengundi tidak tersalah pangkah pada hari mengundi pada 20 November kelak.

Rata-rata calon Bebas pula ternyata tidak kisah tentang pilihan simbol berkenaan yang akan digunakan sepanjang tempoh berkempen dan pada kertas undi kelak kerana simbol tersebut dipilih sendiri oleh mereka.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee misalnya akan menggunakan simbol kunci bagi mempertahankan kerusinya manakala Gan Tian Soh (Duyong) akan memilih simbol arnab dan simbol traktor menjadi pilihan Azmi Kamis (Bemban).

Bagi calon Bebas DUN Asahan, Mohd Akhir Ayob beliau memilih sendiri simbol buku dan ia tidak mendapat bantahan daripada dua calon Bebas lain yang turut bertanding dengan menggunakan simbol pokok dan kunci.

"Saya pilih sendiri (buku) atas alasan buku merupakan panduan terbaik dan membuatkan orang pandai,” katanya pada Selasa.

Sementara itu, portal rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 simbol yang boleh dipilih calon-calon bertanding bagi tujuan kempen dan simbol pada kertas undi.

Antara simbol yang boleh dipilih adalah gajah, udang, cangkul, perahu dan motosikal, dengan kesemua simbol ini tidak boleh ditukar selepas calon memilih dan disahkan oleh pegawai pengurus pilihan raya ketika sesi penamaan calon dilakukan.

Namun, jika ada lebih daripada seorang calon bebas yang mahukan simbol yang sama, SPR akan mengadakan undian bagi menentukan siapakah yang berhak menggunakan simbol berkenaan.

Sebelum ini, selebriti televisyen Azwan Ali yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu sebagai calon Bebas menggunakan logo Gajah ketika bersaing merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa bagi menentang penyandang yang juga abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada PKR.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala undi awal pada 16 November. Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, mempunyai seramai 495,195 pengundi berdaftar dengan 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan 51.43 peratus merupakan wanita. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Bebas, PRN Melaka, SPR, calon