PRN Melaka: Norhizam umum pertahan kerusi Pengkalan Batu atas tiket Bebas


  • Politik
  • Ahad, 07 Nov 2021

NORHIZAM berkata, beliau kekal bebas tanpa menjadi ahli parti politik sehingga kini. —Bernama

DATUK Norhizam Hassan Baktee mengumumkan akan bertanding tiket Bebas pada Pilihan Raya (PRN) Melaka.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu pada Sabtu menafikan laporan bahawa beliau akan bertanding di bawah tiket Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada PRN Melaka yang bakal berlangsung 20 November ini.

Norhizam berkata, beliau kekal bebas tanpa menjadi ahli parti politik sehingga kini.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan Norhizam bakal menjadi calon tunggal parti Pejuang pada PRN Melaka kali ini.

Norhizam, 55, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, memenangi kerusi Pengkalan Batu atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun pada 2 Mac 2020, Norhizam yang juga timbalan pengerusi DAP Melaka ketika itu, menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri baharu di bawah Perikatan Nasional (PN), lalu dipecat oleh DAP.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November.

PRN itu diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas susulan empat Adun menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Norhizam, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram