
VAKSIN AstraZeneca, CoronaVac diberi kelulusan bersyarat sebagai dos penggalak bagi individu 18 tahun ke atas yang menerima vaksin dari jenis sama, kata Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, KKM memutuskan perkara berkenaan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada Rabu.
"Dos penggalak bagi vaksin AstraZeneca akan diberikan selepas sela masa enam bulan daripada penerimaan dos kedua vaksin tersebut.
"Bagi vaksin CoronaVac, dos penggalak akan diberika selepas tiga hingga enam bulan daripada dos kedua diterima.
"Pemberian dos penggalak bagi kedua-dua produk vaksin ini kepada kumpulan sasar tertentu akan diperincikan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B)," ujarnya menerusi kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau serta dinilai berdasarkan data-data terkini.
"Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin berkenaan kekal positif," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram