Keputusan gantung Hawk 108 ditentukan selepas tamat siasatan


  • Primer
  • Rabu, 17 Nov 2021

BANGKAI pesawat Hawk 108 yang terhempas di kawasan landasan Pangkalan Udara TUDM Butterworth pada Selasa. — The Star

MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan sebarang keputusan untuk menggantung penggunaan pesawat Hawk 108 hanya ditentukan selepas hasil siasatan Lembaga Siasatan Khas berhubung insiden membabitkan pesawat tersebut pada Selasa.

Dalam nahas yang berlaku pada pukul 10.07 malam Selasa di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang, seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut sementara seorang lagi cedera ketika sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan pangkalan tersebut.

Jelas Hishammuddin, pesawat Hawk 108 akan terus digunakan untuk latihan dan operasi ketenteraan.

"Bagaimanapun, keputusan itu kita serahkan kepada yang lebih pakar dalam hal ini, Panglima Angkatan Tentera akan melaporkan keperluan mereka," katanya di Melaka pada Rabu.

Sementara itu, Hishammuddin turut mengingatkan agar tiada pihak cuba mengambil kesempatan serta mengeruhkan keadaan ketika siasatan masih dijalankan selain beliau menzahirkan rasa sedih dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga kedua anggota yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan mangsa yang meninggal dunia ialah Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera dalam nahas berkenaan sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram