Teksi Motosikal tidak akan diperkenalkan di Malaysia


  • Primer
  • Isnin, 15 Nov 2021

KEMENTERIAN Pengangkutan akan meneruskan kajian secara berterusan bagi menilai semua aspek berkaitan perkhidmatan teksi motosikal. — Gambar hiasan/The Star

PERKHIDMATAN teksi motosikal tidak akan diperkenalkan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penumpang terjamin.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong yang turut memberitahu bahawa keputusan itu juga mengambil kira pelbagai aspek yang sewajarnya.

Kata beliau, pihak kementerian juga mengambil kira faktor nahas jalan raya termasuk kematian atau kecederaan membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal amat tinggi.

"Isu melibatkan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan jalan juga menjadi satu perkara yang perlu diberi perhatian yang serius dalam kalangan pengguna motosikal sedia ada.

"Kementerian akan meneruskan kajian secara berterusan bagi menilai semua aspek berkaitan perkhidmatan ini sebelum sebarang hala tuju mengenai perkara ini dipertimbang kelak," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Larry Soon (Bebas-Julau).

Larry sebelum itu bertanya mengenai rancangan menyeluruh untuk menjadikan perkhidmatan teksi motosikal sebagai pelengkap perkhidmatan awam baharu, pada sesi lisan di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Tambah Henry lagi, keputusan itu dimuktamadkan kerajaan berdasarkan statistik kemalangan jalan raya dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, pada 2019.

"Penunggang motosikal ialah kumpulan paling tinggi menjadi mangsa nahas jalan raya mewakili 64 peratus daripada jumlah kematian tahun itu.

"Angka ini melebihi 3,900 kes kematian berbanding 6,167 jumlah kematian direkodkan pada 2019. Kerajaan berdasarkan statistik ini menangguhkan keputusan berkenaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram