PN berjanji akan tadbir Melaka dengan baik jika menang PRN


  • Politik
  • Isnin, 15 Nov 2021

MUHYIDDIN membentangkan manifesto PN membabitkan enam teras utama berdasarkan 11 strategi serta 74 pendekatan jika memenangi PRN Melaka. — Bernama

PERIKATAN Nasional (PN) menggariskan janji tadbir urus yang baik dalam mentadbir negeri sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ia merupakan manifesto gabungan parti itu yang dikenali sebagai Ikrar Perikatan untuk negeri itu.

“Perikatan berjanji akan membawa perubahan besar dari segi pentadbiran negeri yang berasaskan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik.

"Bagi memastikan ikrar itu akan dilaksanakan, pasukan petugas pelaksanaan pemantauan khas akan dibentuk yang terdiri daripada penduduk tempatan dan profesional berpengalaman,",” kata pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tambah beliau lagi, gabungan itu menyediakan tawaran inklusif membabitkan enam teras utama, berdasarkan 11 strategi serta 74 pendekatan, kepada pengundi di Melaka.

Bercakap pada pelancaran manifesto, Muhyiddin mengumumkan janji PN untuk membangunkan ekonomi negeri dengan memberi tumpuan khusus kepada industri berteknologi tinggi dan strategik.

Kata beliau, ia juga akan memberi perhatian kepada pendigitalan dan pembangunan perniagaan mikro di negeri tersebut.

"Kita berjanji akan memberi bantuan RM200 secara one-off kepada tahfiz, guru kafa dan guru tadika yang berdaftar dengan badan agama negeri itu.

"PN juga mencadangkan untuk membentuk Dewan Undangan Negeri Belia Melaka bagi mengenal pasti pemimpin baharu dalam kalangan penduduk tempatan," ujarnya.

Jelasnya lagi, bagi mengurangkan kesan Covid-19, lesen perniagaan dan penyewaan tapak untuk perniagaan kecil akan diturunkan.

Ia bagi meringankan beban kewangan mereka dan memberi ruang kepada mereka untuk meneruskan operasi.

PN juga berjanji akan memberi bayaran sekali sahaja RM200 kepada semua anak kelahiran Melaka pada 2021 jika memenangi pilihan raya negeri.

Ia juga merancang untuk menangani isu pelancongan dan kesesakan lalu lintas.

“Bagi memudahkan lalu lintas terutama pada waktu puncak dan musim cuti, kerajaan PN bercadang untuk menyediakan tempat letak kereta bertingkat di kawasan tumpuan pelancongan.

"Ini akan diselaraskan dengan sistem park and ride," kata Muhyiddin.

Ia juga berjanji untuk menyediakan infrastruktur untuk memberikan liputan Internet 5G dan hotspot WiFi percuma di kawasan terpilih.

“Ini adalah manifestasi komitmen PNPN untuk memastikan semua ikrarnya untuk rakyat Melaka dilaksanakan melalui usaha yang kuat dan bersungguh-sungguh,” kata Muhyiddin. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram