Calon Ketua Menteri PN dari Bersatu, diumum sebelum hari undi


  • Politik
  • Jumaat, 12 Nov 2021

MUHYIDDIN turut mengesahkan manisfeso PN akan dilancarkan pada Ahad ini.

PERIKATAN Nasional (PN) akan mengumumkan calon Ketua Menteri dari Bersatu untuk menerajui kepimpinan Melaka, jika pakatan itu diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengumuman itu akan dibuat sebelum hari pengundian pada 20 November ini.

"Kita akan umumkan, kenapa kita ambil masa? Itu strategi kita.

"Oleh kerana Bersatu mempunyai sejumlah besar kerusi, jadi wajar diberikan kepercayaan calon datang dari Bersatu,” katanya dalam sidang di Bemban, Melaka pada Jumaat.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengesahkan manisfeso PN akan dilancarkan Ahad ini.

Beliau berkata, satu badan pemantau akan dibentuk bagi memantau kemajuan manifesto yang telah digariskan dan memastikan ia ditunaikan.

"Sebab kita bukan PH (Pakatan Harapan), PH janji bulan dan matahari tapi bila tak boleh tunai, Tun M cakap manifesto bukan kitab suci.

"Kita tak boleh bohong pada rakyat, apa kita janji kita mesti tunaikan,” katanya.

Mengenai Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas yang ditutup kerana terdapat kes positif Covid-19, Muhyiddin mengesahkan perkara itu.

Bagaimanapun beliau berkata, bilik gerakan akan ditutup dan lokasi sementara akan dibuka untuk gerak kerja jentera di DUN itu.

Mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) kempen PRN yang ketat sehingga menimbulkan keluhan rata-rata calon dan jentera parti yang bertanding, Muhyiddin juga memberikan pandangan sama.

"Saya pun mengeluh juga. Bagaimana kita nak perkenalkan calon kalau jumpa pengundi, bercakap pun tak boleh.

"Saya faham apa KKM (Kementerian Kesihatan) buat untuk kebaikan, tetapi kita minta pertimbangan jika dapat dilonggarkan (SOP) beberapa hari, maka boleh berikan sedikit ruang untuk kita berkempen,” katanya.

Mengulas mengenai peluang PN pada PRN Melaka beliau berkata: "Saya tak mahu buat andaian, kita tunggu rakyat Melaka buat keputusan.”

Pada PRN Melaka yang dijadualkan 20 November ini, PN bertanding di kesemua 28 kerusi dengan Bersatu 15 kerusi, PAS (8) dan Gerakan (5). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram