Pertembungan BN-PN di Melaka cetus pelbagai kemungkinan — Mahdzir


  • Politik
  • Jumaat, 12 Nov 2021

PERTEMBUNGAN BN dan PN di PRN Melaka dianggap sebagai satu perlawanan persahabatan. — Gambar hiasan

PERTEMBUNGAN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini disifatkan boleh membuahkan pelbagai kemungkinan kepada kerjasama dua gagasan politik tersebut kelak.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dalam politik, diakui terdapat seni kepada segala kemungkinan termasuk situasi pertembungan tiga penjuru antara BN, PN dan Pakatan Harapan (PH) di PRN Melaka.

Mengambil contoh apa yang terjadi kepada Umno yang berjaya membentuk kerajaan pada hari ini walaupun kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, ia adalah antara seni kepada kemungkinan yang diperkatakan itu.

"Kalau tanya saya, saya tak pastilah (nasib antara parti Umno, Bersatu, dan Pas apabila bertembung). Kita tak tahu, tapi apapun dalam politik, ada seni kepada segala kemungkinan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Sembang Santai Bersama Media di Kuala Lumpur pada malam Khamis.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pertembungan PN dan BN di PRN Melaka dianggap sebagai satu perlawanan persahabatan memandangkan parti itu memiliki kerjasama dengan BN menerusi Muafakat Nasional.

Sementara itu, ketika ditanya peluang BN memenangi PRN Melaka, Mahdzir yakin, koalisi itu berpeluang meraih kejayaan berdasarkan kelebihan yang ada.

Menurutnya, sebagai parti politik, strategi memainkan peranan penting untuk mencapai kemenangan.

"Ada cara dan strategi untuk menang tanpa perlu menjadikan ucapan politik berkobar.

"Ada strategi memberitahu rakyat bagaimana BN bekerja itu lebih elok daripada menjadikan politik hiruk-pikuk," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram