Pemimpin MCA kecam tindakan Kedah haram operasi kedai nombor ekor


  • Primer
  • Isnin, 15 Nov 2021

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada Ahad mengumumkan Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui lesen perniagaan kesemua premis nombor ekor di negeri itu. — Gambar hiasan

NAIB presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng mengecam keputusan kerajaan negeri Kedah untuk tidak memberi dan memperbaharui lesen perniagaan kedai nombor ekor di negeri itu.

Katanya, tindakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor untuk menguatkuasakan larangan berjudi jelas bertentangan dengan prinsip kepelbagaian budaya dan pluralisme di negara ini.

“Tiada sesiapa harus memaksa nilai dan agenda agama mereka terhadap orang lain, sebaliknya kita mesti menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain.

"Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, agama dan budaya, kerajaan selama beberapa dekad menunjukkan penghormatan terhadap cara hidup dan hak semua kumpulan etnik dan agama," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Isnin.

Jelasnya, beliau sama sekali tidak menggalakkan orang ramai untuk berjudi, tetapi kerajaan persekutuan atau negeri tidak seharusnya mengganggu kebebasan dan hak asasi rakyat.

"Agenda agama parti politik dan ahli politik tidak boleh dikenakan ke atas penduduk," kata Tan.

Sanusi pada Ahad mengumumkan, Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui lesen perniagaan kesemua premis nombor ekor di negeri itu.

Katanya, langkah tersebut dibuat dalam usaha pihaknya menjadikan negeri berkenaan bebas aktiviti perjudian.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram