Kedah haram operasi kedai nombor ekor, had jual alkohol


  • Primer
  • Ahad, 14 Nov 2021

AKTIVITI judi memberi kemudaratan kepada manusia. — Gambar hiasan

KEDAH menjadi antara negeri terawal melarang semua kedai nombor ekor daripada terus menjalankan operasi apabila Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui lesen perniagaan kesemua premis tersebut.

Menurut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, langkah tersebut dibuat dalam usaha pihaknya menjadikan negeri berkenaan bebas aktiviti perjudian.

Jelas beliau, aktiviti perjudian mengakibatkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan tamadun selain menyebabkan manusia berdepan masalah hutang.

"Kerajaan tidak akan memberi lesen baharu, kalau anda mahu beli nombor ekor, beli di Pulau Pinang.

"Saya orang Islam tidak boleh bermain judi. Nandi di akhirat saya disoal, aktiviti seperti ini, anda buat apa? Kalau saya cakap saya tidak buat, saya kena hukum. Sementara saya ada kuasa, baik saya gunakan," ujarnya sewaktu sidang media selepas membentangkan Bajet 2022 Kedah pada Ahad.

Tambahnya, premis judi tidak memberi banyak manfaat kerana hanya pemilik perniagaan tersebut sahaja yang mengaut keuntungan dan memberi kemudaratan kepada orang ramai.

"Saya harap semua pihak termasuk penduduk negeri ini memahami keputusan kerajaan negeri tidak memperbaharui lesen premis perjudian," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Sanusi juga memaklumkan penjualan minuman keras di semua premis dihadkan terutamanya di kawasan luar bandar.

"Kita juga berbincang dengan kedai bebas cukai di Langkawi dan kedai lain yang tidak memiliki lesen supaya tidak menjual arak secara terbuka untuk menjamin akal fikiran rakyat kita agar kekal waras," menurutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram