Kes Covid-19 terus meningkat ke angka 6,517


  • Primer
  • Jumaat, 12 Nov 2021

SEBANYAK 6,517 kes dicatatkan pada Jumaat, meningkat berbanding 6,323 kes pada Khamis. — Gambar hiasan

KES baharu Covid-19 terus meningkat ke angka 6,517 pada Jumaat, berbanding 6,323 kes yang dicatatkan pada hari sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini mencatatkan 2,535,338 kes setakat ini.

Menurutnya, kadar kebolehjangkitan (Ro/Rt) juga telah meningkat dan kembali kepada nilai 1.0.

"Ini bermakna kes harian semakin mendatar dan kebimbangan kita adalah jika ia kembali meningkat.

"Orang ramai digesa patuh kepada prosedur operasi standard dan kepada kumpulan rentan, dapatkan segera dos pengalak apabila janji temu diberi," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Jumaat.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Noor Hisham berkata, di sebalik peningkatan kes baharu, kes sembuh turut mencatatkan peningkatan dengan sebanyak 6,517 kes direkodkan.

"Daripada jumlah kes baharu, 125 kes atau 1.9 peratus melibatkan kategori tiga, empat dan lima (melibatkan radang paru-paru, bantuan oksigen dan bantuan pernafasan), manakala baki 6,392 kes atau 98.1 peratus lagi adalah daripada kategori satu dan dua (tidak bergejala dan bergejala ringan),” katanya.

Beliau berkata, 544 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 269 lagi kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, menurutnya sembilan kluster baharu dicatatkan menjadikan jumlah kluster aktif kini 286, manakala nilai kadar kebolehjangkitan atau R-Naught (Rt) negara juga sedikit meningkat kepada 1.0, lebih kurang lima minggu selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, secara umumnya, situasi penularan Covid-19 di Malaysia adalah baik, namun tetap dalam fasa berjaga-jaga bagi memastikan keadaan terus terkawal dan bertambah baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram