
SEORANG lelaki maut manakala seorang lelaki cedera parah dipercayai terjatuh dari buaian di sebuah funfair di Aeon Jusco Cheras Selatan, Kajang, Selangor pada tengah malam Khamis.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.05 tengah malam dan dilaporkan oleh pekerja taman tema itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohd Nasir Drahman berkata, mangsa yang maut berusia 39 tahun dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Seorang lagi mangsa turut mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
"Kita masih menyiasat kejadian ini untuk mengetahui punca sebenar kejadian berlaku samada terdapat kecuaian pada pihak pemilik funfair mahupun mangsa sendiri. Setakat ini hasil siasatan awal dapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku di dalam kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Mohd Nasir, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.
Ujarnya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik HUKM untuk tindakan lanjut di mana bedah siasat akan dijalankan dalam tempoh terdekat bagi mengetahui punca kematian.
"Kita menyeru kepada semua pihak terutamanya orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini. Siasatan terperinci akan dijalankan pihak polis berkait dengan kejadian ini.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini bolehlah menghubungi balai-balai polis yang berdekatan di daerah Kajang atau pegawai penyiasat kes iaitu Sarjan Mohd Emran bin Mohd Noor di talian 013-7638512 bagi menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram