KEPUTUSAN Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk menguatkuasakan perlesenan iklan umrah dengan lebih tegas dapat mengelakkan umat Islam di negara ini tertipu dengan pakej umrah yang ditawarkan pihak tidak bertanggungjawab, kata agensi umrah.
Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang syarikat Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, beliau bersetuju dengan langkah yang diambil oleh Motac kerana ia membantu para jemaah daripada ditipu dengan agensi umrah yang tidak berlesen.
"Sebenarnya peruntukan untuk kelulusan sebelum keluarkan iklan itu memang dah ada dalam Akta Industri Pelancongan daripada awal, cuma sebelum ini tidak dikuatkuasakan dengan lebih tegas.
"Semuanya percuma dan mudah sahaja. Tetapi sebab sebelum ini tidak penguatkuasaan undang-undang dan sekarang ini kena buat permohonan, mungkin orang (agensi) rasa susah.
"Saya setuju dengan langkah yang diambil oleh Motac, kerana kita ada terlalu banyak iklan daripada ejen-ejen yang mengelirukan orang ramai dan mereka sebenarnya tidak mempunyai lesen serta agensi pelancongan sah.
"Kalau iklan ini tidak dipantau, ia mungkin akan menjurus kepada penipuan dari segi pakej atau isi kandungan yang ditawarkan di dalamnya. Sebab kadang-kadang nama hotel pun dah berubah, jadi ia akan mengelirukan jemaah," katanya kepada Majoriti.
Semalam, Motac dalam satu kenyataan mengumumkan pengendali pelancongan berlesen atau mana-mana syarikat pengendali umrah tidak dibenar mengiklankan tawaran pakej tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan mulai 1 Februari 2022.
Perkara itu dikuatkuasakan berdasarkan Peraturan 6(1A) (a), Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] dalam mesyuarat Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) yang dipengerusikan Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri pada Khamis (11 November).
Dalam pada itu, Uda berkata, agensi pelancongan perlu memberikan fakta yang jelas tentang isi kandungan pakej umrah yang ditawarkan kerana jemaah perlu tahu apa yang mereka akan dapat jika membuat tempahan.
Menurut Ida, agensi umrah hanya perlu memberikan contoh sampel iklan kepada Motac dan kelulusan akan dibeikan sekiranya ianya mematuhi syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan.
"Agensi umrah boleh membuat iklan dari masa ke semasa mengikut syarat yang telah ditetapkan oleh Motac sehingga tamat tempoh lesen.
"Langkah yang diambil oleh Motac ini dapat mengelakkan orang ramai daripada ditipu kerana sekarang ni sesiapa sahaja boleh membuat iklan di mana-mana terutama sekali di media sosial," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
