BERMULA 1 Februari 2022, pengendali pelancongan berlesen atau mana-mana syarikat pengendali umrah tidak dibenar mengiklankan tawaran pakej tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan.
Perkara itu dinyatakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang turut memaklumkan penguatkuasaan itu berdasarkan Peraturan 6(1A) (a), Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].
Katanya dalam satu kenyataan pada Khamis, langkai itu sebagai mengenal pasti iklan haram pakej umrah.
"Perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) dipengerusikan Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri pada Khamis.
"Mana-mana syarikat pengendali umrah yang mengiklankan pakej umrah tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.
Tambahnya lagi, mesyuarat itu turut disertai wakil Kementerian Luar Negeri; Jabatan Imigresen Malaysia; Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji; Lembaga Tabung Haji; Polis Diraja Malaysia; persatuan-persatuan pengendali umrah dan agensi lain yang berkaitan.
Kenyataan itu turut memaklumkan setiap iklan umrah yang diluluskan akan diberi nombor siri khas yang perlu dipaparkan dan borang permohonan boleh dimuat turun di www.motac.gov.my. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
