JEMAAH yang ingin menunaikan umrah tidak lagi perlu membuat tempahan dan menunggu selama 14 hari bagi ibadah tersebut, menurut Kementerian Haji dan Umrah.
Ketua Pegawai Perancang dan Strategi di Kementerian itu, Dr Amr Al-Maddah berkata, peraturan itu ditamatkan disebabkan pertambahan permohonan jemaah untuk menunaikan umrah.
Katanya, sejak peraturan itu dimansuhkan, kapasiti jemaah yang beribadah di Masjidil Haram sama ada bersolat dan mengerjakan ibadah umrah menunjukkan peningkatan.
"Susulan permintaan tempahan tarikh mengerjakan umrah yang meningkat, kementerian memutuskan peraturan itu dimansuhkan dan diharap akan memberi peluang yang adil kepada semua untuk beribadah," katanya.
Pada 16 Oktober, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan kelonggaran peraturan masuk ke negara itu termasuk untuk beribadah ke Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.
Peraturan bersolat dengan penjarakan satu meter antara jemaah juga ditamatkan di Masjidil Haram dan Masjdi Nabawi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram