SEORANG lelaki yang bertugas sebagai imam kedua di sebuah surau maut apabila dirempuh imam pertama selepas selesai menunaikan solat Subuh di Kajang, Selangor, semalam.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi ketika mangsa yang berusia 78 tahun bersama seorang lagi mangsa berusia 76 tahun baru keluar dari surau.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at, siasatan awal mendapati imam pertama ketika itu telah terlanggar sebuah kereta sewaktu mengundurkan kenderaannya.
"Panik dengan apa yang berlaku, imam tersebut telah memandu menggerakkan kenderaannya ke hadapan sehingga hilang kawalan dan melanggar dua mangsa yang berada di hadapannya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Keadaan hadapan kenderaan yang mengakibatkan seorang maut - Ihsan PDRM
Menurut Azman, insiden itu telah mengakibatkan imam kedua maut di tempat kejadian manakala seorang lagi mengalami kecederaan patah lutut kanan dan pergelangan tangan kiri.
Jelasnya, siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Kita meminta orang ramai sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika memandu kenderaan masing-masing," katanya.
Tambahnya, bagi pemandu sudah berusia, mungkin ada keperluan untuk membuat pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka masih boleh mengendalikan kenderaan dengan baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram