Dua penunggang parah dirempuh Perodua Viva


  • 112
  • Khamis, 11 Nov 2021

KEMALANGAN yang berlaku di Jalan Kuching hingga mengakibatkan dua cedera parah. — Facebook

DUA penunggang motosikal cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Viva yang hilang kawalan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Kereta yang dipandu seorang lelaki itu juga turut merempuh sebuah kereta jenis Toyota Vios selepas terbabas memasuki laluan bertentangan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintenden Zulkafli Chek Lah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.50 malam.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku melibat dua kereta jenis Perodua Viva dan Toyota Vios serta dua buah motosikal jenis Yamaha skuter dan Modenas Kriss.

"Lelaki yang memandu Perodua Viva itu sedang memandu dari arah bulatan Kinabalu menghala ke Kepong," katanya.

Menurut Zulkafli, setibanya di lokasi kemalangan, pemandu kenderaan Perodua Viva telah hilang kawalan dan terbabas sehingga memasuki ke laluan bertentangan dan melanggar kereta Toyota Vios.

Jelasnya, akibat kemalangan tersebut dua buah motosikal dari arah Jalan Kuching ke pusat bandar tidak dapat mengelak dan melanggar kenderaan motokar yang terlibat.

"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan manakala kedua – dua penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Pemandu kenderaan Toyota Vios telah dapat dikesan dan tindakan susulan akan diambil," katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik (JSPT), Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai Polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kemalangan, Jalan Kuching, JSPT, PDRM, Viva, Vios